Artikel
Pilihan
Terbit di Berita Harian: 7 Februari
2004
- Sastera -
Bicara Pengarang: Novel fantasi, sains fiksyen ramai peminat:
Ahmad Patria
AHMAD Patria Abdullah dianggap sebagai pelopor
penulisan novel fantasi dan sains fiksyen di negara ini. Kemampuannya
menghasilkan enam novel fantasi berkonsepkan kehidupan dan perjuangan
seorang pahlawan, Artakus, membuka mata pembaca, terutama peminat
novel fantasi. Ikuti wawancara wartawan Sastera dan Budaya, HASSAN
OMAR, dengan beliau, di Bangi, baru-baru ini.
AHMAD Patria setakat ini menghasilkan
enam novel fantasi. Mungkinkah Ahmad Patria terpengaruh dengan
novel `Lord of The Rings’ (LOTR)?
Saya memang tak ada cita-cita menjadi penulis
novel. Kebetulan saya insan yang suka bercerita. Ketika di asrama
Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan Universiti Sains Malaysia
(USM) saya macam penglipur lara yang bercerita kepada rakan. Sejak
kecil saya dibesarkan dengan novel Inggeris. Cerita penglipur
lara ini saya ambil daripada novel Inggeris seperti LOTR yang
saya kenali ketika dalam darjah dua.
Benarkah Ahmad Patria menulis novel pertama
Permata Aurorius ketika berusia 18 tahun?
Novel itu ditulis selepas saya menduduki peperiksaan
Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Satu malam ketika berjalan kaki
pulang dari rumah kawan di Petaling Jaya, kira-kira jam 9 malam,
ketika melalui jalan yang sunyi, tiba-tiba saya ternampak sebuah
negeri yang cantik dan datang bagaikan mimpi. Sukar untuk saya
menggambarkan keadaan ketika itu. Bila sampai di rumah, saya terus
menaip dan siap 200 halaman dalam masa dua bulan.
Ayah Ahmad Patria tidak campur tangan?
Ayah pada mulanya tidak perasan. Ketika kekurangan
kertas saya menggunakan kertas terpakai ayah. Selepas lebih kurang
90 halaman, baru ayah bertanya, melihat dan membacanya. Ayah selalu
memberi sokongan dan hanya membaiki bahasa serta memberi cadangan
pada peringkat awal penulisan. Saya akui ramai orang boleh menulis
tetapi untuk menyiapkannya susah. Kerja menulis memerlukan kita
mengasingkan diri. Kita amat kesepian ketika menulis. Sebab itulah
penulis memerlukan ketabahan. Selepas dua setengah bulan menaip,
manuskrip itu siap. Bagaimanapun saya membuangnya dalam tong sampah.
Saya mula menulis novel lain. Ayah mengutipnya dan bertanya mengapa
saya berbuat demikian? Saya jelaskan saya tidak puas hati dan
ayah mengatakan bukan hak saya untuk mengadilinya serta mencadangkan
ia dihantar kepada penerbit. Saya memang tak suka novel itu. Saya
menganaktirikan novel pertama itu.
Bagaimana boleh menulis novel kedua?
Saya menghantar novel pertama itu kepada Dewan
Bahasa dan Pustaka (DBP) dan tak sangka Permata Aurorius dipilih
sebagai buku terbaik Majlis Kemajuan Buku Kebangsaan (MKBK) pada
1987. Novel kedua ditolak DBP.
Bagaimana dengan novel ketiga?
Saya menulis Kota Arialun pada 1987. Diikuti
Kembar Artakus (1988), Petua Azkram (1991) dan Puteri Alindalia
serta Pedang Aurora (1993). Semuanya cerita bersiri. Ceritanya
bermula dengan seorang budak bernama Rizal yang baru pulang dari
sekolah dan dilanggar kereta. Apabila sedar, dia berada di negeri
asing, Aurora. Orang memanggil Rizal Artakus. Muka orang di negeri
itu, muka Melayu tetapi bermata hijau. Rizal dipanggil Artakus
kerana mereka menganggap beliau pemimpin agung yang dinanti-nantikan.
Bangsa Aurora ada lima kelana berpecah-belah dan dijajah Morok.
Artakus diangkat menjadi pemimpin tertinggi. Dalam alam itu ada
masalah politik dan metafizik. Ada satu entiti masyarakat enrokus
iaitu orang jahat seperti Sauron dalam LOTR. Mereka ini berhasrat
memusnahkan dunia.
Jelas Ahmad Patria terpengaruh dengan
LOTR.
Memang saya dipengaruhi oleh novel itu. Saya
amat meminati LOTR sejak 1977. Saya menulis novel pertama saya
pada 1986, sebelum orang mengenali filem LOTR lagi.
Bagaimana dengan susunan plot dan teknik
penulisan yang lain?
Ini semua ilham daripada Allah swt. Bila DBP
menerima manuskrip saya, saya sungguh seronok. Bagaimanapun, saya
dibatasi oleh kesedaran bila kita menulis novel, kita tidak boleh
mengatakan yang kita ini bagus. Ia kurniaan Ilahi. Ibu memang
menggalakkan saya menulis tetapi tidak mahu saya menjadikan penulisan
sebagai kerjaya. Ibu lebih suka saya mendalami ilmu farmasi. Di
USM pun, saya mengambil bidang farmasi.
Bagaimana dengan penerimaan pembaca terhadap
novel fantasi?
Pada sekitar 1980-an, novel fantasi memang kurang.
Saya dikatakan sebagai pelopor novel fantasi di Malaysia. Pada
peringkat awal, saya banyak menerima kritikan daripada pembaca.
Mereka tidak begitu faham apa itu novel fantasi. Ada yang memandang
remeh novel fantasi dan menganggapnya tidak bermutu. Apabila saya
dipelawa menghadiri program anjuran DBP, saya ditanya bermacam-macam
perkara. Ada yang mengkritik dan ada yang memberi sokongan. Ini
lumrah kehidupan sebab ia benda baru.
Apa yang Ahmad Patria ingin sampaikan
dalam novel fantasi?
Mesej yang ingin saya sampaikan ialah mengapa
sesuatu bangsa itu dijajah? Sebabnya mereka berpecah-belah. Di
hujung cerita, hero tak dapat apa-apa sebab dia ikhlas. Orang
yang ikhlas selalunya mengharapkan balasan daripada Allah.
Apakah Ahmad Patria mempunyai laman web
sendiri?
Sebenarnya laman web itu peminat yang usahakan
dan sudah menerima 2,000 pelawat sejak diwujudkan Jun lalu. Saya
terkejut kerana pengunjung laman web itu ada yang berusia 20 hingga
30 tahun. Mereka sekarang sudah menjadi jurutera, doktor dan peguam.
Mereka membaca novel fantasi saya ketika berusia belasan tahun.
Bagaimana dengan karya terbaru Ahmad
Patria?
Hari ini, saya sudah menyiapkan novel ketujuh,
Lagenda Numerius. Saya mahu mencetak 500 naskhah dan kini pada
peringkat penyuntingan. Novel ini sudah menerima tempahan 200
naskhah dan berharga RM 23.50. Paling tebal buku ini saya anggarkan
sekitar 200 halaman.
Apakah Ahmad Patria ada cadangan menerbitkan
kompilasi novel?
Cadangan itu memang ada tetapi saya perlu membuat
bermacam-macam persediaan.
Bagaimana Ahmad Patria melihat prospek
novel fantasi di negara ini?
Novel fantasi memang ada prospek. Tambahan pula,
sekarang sudah banyak filem fantasi seperti LOTR. Keenam-enam
novel saya kini tidak ada di pasaran sebab sudah tidak dicetak
lagi. Pernah satu ketika, anak syarikat DBP, Dawama, mengiklankan
novel saya dalam laman web, tak sampai dua minggu, habis dijual. |