Antiga Prima : Pertemuan di Lembah Arsilliath
by Orzailly the Zukkiri
Hembusan udara segar pergunungan Arsiliath mencipta
ruang percubaan untuk mewujudkan satu kedamaian jiwa yang sementara
di dalam hatiku. Aku menarik nafas sedalam mungkin lantas memenuhi
segenap perspektif dadaku dengan bau wangian orkid liar serta
kehijauan dedaun hutan. Namun, kehadiran sejumlah adrenalin di
dalam sistem transmisi sel-sel plasma menggagalkan segala percubaan
alam semulajadi untuk merendahkan kadar denyutan jantungku yang
semakin berdebar menunggu masa untuk bermulanya sebuah pertempuran
besar. Aku diiringi ke empat-empat penghulu Qarzaig Antiga Prima.
Wulfkar, Alpisa, Vladarek dan Kantara berhati-hati berjalan di
sekelilingku membentuk satu jaringan sihir halimunan, memustahilkan
diri kami daripada dilihat oleh musuh .
Aku terus menyusuri celahan pokok-pokok hutan
dengan aura waspada yang tinggi. Seluruh rangsangan betazoidku
tertumpu kepada sebarang pergerakan. Secara tiba-tiba, aku boleh
merasakan ratusan pasang mata memerhatikan pergerakanku dengan
seribu ancaman tersembunyi. Pedang Zaradilan ku bergegar minta
ditanggalkan sarungnya agar dapat menyerap bahaya yang mungkin
menjelma. Aku memandang ke arah Vladarek dan mengerutkan keningku.
"Zukkiri, ada sesuatu yang mengganggu kosmik
sihirku," ujarnya resah sambil memandang ke atas langit memerhatikan
pergerakan awan.
"Kehadiran kita bukan lagi rahsia,"
bisik Kantara lantas menegangkan panahnya.
Wulfkar, Alpisa dan Vladarek turut meningkatkan
tahap kesiagaan diri. Zaradilan dikeluarkan dari sarungnya. Serentak
dengan itu, guruh pun berbunyi diikuti kilat sabung menyabung.
Seluruh peterana alam kini bertukar menjadi suram. Dan dari jauh,
aku dapat melihat sejalur cahaya putih menuju deras ke arahku.
Pasti penunggu istana Maharaja Akkordeon, Ungkrai. Tiada sesiapa
pun yang akan mengambil jalan untuk berhadapan dengannya jika
boleh. Namun aku tidak punya pilihan lain. Demi untuk menyelamatkan
Dewii Nezilta, empayar Akkordeon harus ku tujui. Dan ini bermakna
Ungkrai harus diuruskan terlebih dahulu. Untuk itu, aku telah
memilih Wulfkar, Alpisa, Vladarek dan Kantara untuk membantuku
berhadapan dengan makhluk jembalang itu nanti. Sementara itu,
seluruh Antiga Prima kini berada di bawah kepimpinan Artakus.
Menanti gendang perang berbunyi di Lembah Akturius, manakala aku
pula harus menyelesaikan satu misi peribadi di Arsilliath.
Cahaya putih itu semakin dekat, membawa seribu
ancaman dalam bentuk kemusnahan yang tidak aku ketahui. Semakin
dekat cahaya itu menuju ke arah ku, aku merasakan segala urat
dalam tubuhku menjadi kaku lantas mengikat segala pergerakanku.
Radius cahaya pemandanganku menjadi semakin kabur. Kesaktian perisaiku
pula semakin lemah. Hebat. Itulah yang boleh aku gambarkan mengenai
kekuatan sihir ini.
Serangan musuh bermula dengan sihirnya. Namun,
aku tidak mengesan sebarang bau busuk dari sihir itu, malah aku
merasakan keharuman bunga-bunga Aurora terlekat dalam lubang hidungku.
Kekeliruan mewarnai pemandanganku yang semakin kabur lantas memincang
keputusan untuk bertarung. Hanya sihir seorang Karman sahaja yang
berbau harum seperti ini. Namun, aku mengambil langkah untuk bersedia
sekiranya diserang. Mindaku cuba memikirkan siapakah Karman yang
masih wujud di dunia ini selain Azkram. Atau, mungkin ini adalah
helah semata-mata. Zaradilan semakin erat dalam genggaman kananku,
manakala perisai Gortik disoket kemas dalam genggaman kiriku.
"Bersedia wahai Qarzaig ku semua!"
jeritku meningkatkan waspada mereka. Ketika itu juga, cahaya putih
tadi menjadi seperti satu tangan besar mencakari segala apa yang
ada di depannya. Sinar cahayanya yang terang menyilau pemandanganku.
Aku masih gagal mencari subjek sasaran di dalam cahaya putih itu.
Vladarek memulakan serangan. Busurnya dilepaskan
manakala Kantara cuba memecahkan struktur cahaya putih itu dengan
sihirnya sambil dibantu oleh Wulfkar dan Alpisa. Bunyi letupan
yang kuat kedengaran apabila dua kuasa sihir itu bertemu diikuti
sebuah letupan lantas menerangi setiap inci ruang pertempuran.
Dalam masa itu, cahaya putih tadi berpecah-pecah membentuk seperti
satu rantai halimunan dan terus mengikat segala pergerakanku.
Aku seolah-olah bagaikan ditekan oleh sebuah batu besar yang cuba
membenamku ke bumi. Kesemua Qarzaigku telah terpelanting ke kawasan
sekitar, ditepis bagaikan seperti seekor nyamuk oleh kuasa cahaya
putih itu. Mereka tewas....
Aku mengangkat Zaradilan dan bersedia untuk sebarang
kemungkinan. Kemungkinan yang tiada kebarangkalian untuk selamat.
"Bagaimana seorang Zukkiri boleh tersesat
jauh hingga ke Arsiliath??" tiba-tiba kedengaran satu suara
besar, lembut dan tegas menyoalku lantas menghentikan segala pergerakan
yang mengancamku. Aku rasakan keadaan seolah-olah sudah selamat.
Belenggu sihir ditubuhku kian lenyap.
Suasana menjadi hening. Bahang pertarungan tadi
telah lenyap ditelan gema suara tersebut lalu mengikat kesunyian
alam. Keharuman bebunga Aurora semakin kuat disekitarku, membunuh
segala ketegangan seketika tadi dan membawa seribu ketenangan
dan kedamaian jiwa. Dari kepulan asap putih, muncullah seorang
lelaki tua berpakaian serba putih. Berjanggut, bertubuhnya tinggi
dan cengkung dimamah usianya yang jelas telah lanjut, barangkali
sewindu berganda dasawarsa. Dia memakai jubah badar raja yang
labuh ke hujung kaki, berbelah tepi. Tangan kirinya menggenggam
tongkat sepunggur yang dihayunnya dengan kemas dan selesa, penuh
dengan keyakinan yang diasah oleh kebiasaan. Wajahnya redup, dijana
catur-catur pengalaman yang bisa membuatnya dihormati.
"Perkenalkan dirimu...!" arahku kepada
orang tua itu. Dia memandangku dengan pandangan yang tenang, Vladarek,
Alpisa, Wulfkar dan Kantara mula bangun dari kejatuhan dan berdiri
di belakangku dalam keadaan bersedia untuk menyerang. Aku masih
menunggu jawapan si tua itu.
"Dan engkau tidak dapat membezakan keharuman
sihir seorang Karman, wahai Zukkiri?" soal lelaki tua itu,
cuba menggugat pengetahuanku mengenai sihir dan selok belok ilmu
kesaktian. Sebenarnya, aku memang keliru dengan perbezaan sihirnya
yang unik dan tidak terjangkau oleh deria betazoidku. Pendirian
diplomatikku berubah. Aku mengesyaki dia bukan seorang Yishkrak.
Bukan musuh.
"Akulah ahli sihir yang menjadikan kuasa
Arasis sebagai asas kesaktianku. Akulah ahli sihir yang membawa
sekali keharuman bebunga Aurora. Dan akulah ahli sihir yang bergelar
Karman, ..... Karman Arasis yang digelar Nazril!" ujar lelaki
tua itu sambil mengurut janggut putihnya.
"Dari Merkia, aku datang kepadamu untuk
menjunjung titah Arasis. Membantu membebaskan Dewi Nezilta dari
sumpahan Maharaja Akkordeon. Bukankah itu misimu, wahai pahlawan
Tarsonis?" sambungnya.
Aku menyarung kembali Zaradilan ke dalam sarungnya. Qarzaig yang
lain turut menurunkan senjata masing-masing, menghilangkan segala
maksud ancaman dan mencipta mesej keamanan untuk seorang sahabat
baru yang hebat. Perlahan-lahan aku melangkah ke arahnya.
"Nampaknya, tujuanku ke Arsilliath kau tahu.
Sihirmu pula memang dapat kubezakan kelainannya. Demi Arasis,
aku terima tawaranmu sebagai sekutu. Tetapi, sebentar tadi bukanlah
cara sebenar menyambut seorang sahabat , wahai Nazril," ujarku
pula menjawab segala persoalan sinis si Karman sebentar tadi lantas
menghulurkan tangan kepadanya. Nazril tersenyum, setelah mengujiku.
"Gembira dapat bertemu denganmu semula,
Nazril". Kami mengorak langkah menuju ke Kota Akkordeon.
Nezilta, aku datang untuk menyelamatkanmu, sayang!
|