Antiga Prima : Establishing ally connection
by Orzailly the Zukkiri
Suasana riuh rendah menyambut kehadiran angkatan
perangku di perkhemahan manusia berbangsa Aurora. Sedikit unsur
kesangsian mewarnai suasana perasaan lautan manusia ini lantas
membisikkan aura waspada. Buat seketika, aku terfikir untuk gementar.
Tanganku memegang ulu Zaradilan, pedangku yang tidak pernah membiarkan
senjata musuh hinggap ke tubuh. Aku mengikuti langkah Azkram menghala
ke arah tempat seseorang dimana aku telah diutuskan kepadanya.
Aku cuba melemparkan senyuman kepada beberapa orang yang berada
di sekitar, namun mungkin tak cukup untuk menghilangkan wajah
bengis ini. Ah, aku ini makhluk Tarsonis. Mungkin selama ini Tarsonian
hanya wujud di dalam dongeng manusia-manusia aurora, tetapi kini
sejuta mata menjadi saksi kewujudan bangsaku. Mereka melihat rentak
langkah Tarsonian dalam kekaguman.
Akhirnya, aku sampai di sebuah khemah besar yang
terletak di bawah sebatang pokok Rumdesia. Azkram mendahului langkah
perjalanan. Beberapa orang Aurora dewasa kelihatan gembira tatkala
menerima kedatangan Azkram. Dari raut wajah tampak mereka inilah
merupakan pembesar-pembesar puak Aurora. Kebolehan betazoid dalam
hatiku merasakan terbit satu tandatanya dan seribu kehairanan
telah wujud di dalam hati mereka setelah melihat siapa yang mengiringi
kepulangan Azkram. Namun Azkram membiarkan cetusan kehairanan
itu bermain di minda mereka lantas membawa terus langkah ini ke
arah Artakus yang sedang menunggu bersama-sama beberapa orang
lelaki , duduk di sebuah meja bulat. Di depanku kini adalah Atinius,
Jeenusix, Darumir, Iotan dan Artakus. Angkatan perangku di belakang,
dalam keadaan senang diri.
“Salam ke atasmu, Artakus. Pertemuan ini
telah menunjukkan takdir di pihak kita. Ota telah kutumpaskan.
Pintu Erta telah dikunci. Permata aurorius kini terlepas dari
garapan Herakos. Sarium telah kau takluki. Dan kini, lihatlah….seluruh
Aurora kini kembali bersatu di bawah kepimpinanmu, wahai Artakus,”
pintas Azkram memulakan bicara.
“Selamat pulang Azkram,” balas Artakus
lantas menyambut dengan pelukan mesra dan menyambung…“
Bicaramu benar untuk setakat episod ini. Tetapi apakah takdir
kemenangan akan sentiasa bersama kita selepas ini memerlukan sesuatu
yang luarbiasa untuk disiasahkan. Morrok telah menggandakan kekuatan.
Seluruh bala tentera jembalang menyertai mereka. Gendang perang
Morrok kini telah berbunyi diiringi sihir Yisykrak yang ngeri.
Peperangan kali ini amat besar. Dan pasti berlaku”.
Aku menarik nafas panjang mendengar keluhan Artakus.
Deria betazoid ku membaca isihati Artakus. Takut? Aku tidak nampak
walau seurat benang ketakutan di hatinya. Manusia di depanku ini
telah diutuskan oleh Kitab-kitab Id untuk membela nasib Auroran
dari cengkaman Morrok dan menyelamatkan permata Aurorius dari
persengketaan Merkia Herakos. Dia menakluk Urdakis hanya dengan
sepertiga kekuatan berbanding Morrok. Dialah yang membolehkan
angkatan perang Jeenusix merempuh Kota Sarium dengan membuka pintu
kota bersendirian dari dalam. Dialah yang telah menundukkan Karum
dan menjadikan seekor naga merah sebagai sahabat. Lojistiknya
sebagai seorang Artakus telah disediakan oleh Merkia dengan item
bersoket kesaktian dan mistik. Dia pemilik Arkus, pedang Arasis
dan dia menjadi tuan kepada Ilia, raja segala kuda dari kayangan.
Dia bukannya takut, tetapi bimbang jika segala siasah tidak menjadi
dan dadu-dadu percaturannya tumbang. Aku boleh merasakan berat
bebanan yang dipikulnya untuk membela nasib seluruh Aurora yang
kini terletak di tangannya.
Aku menghentikan fungsi deria betazoidku untuk
mendengar kata-kata Azkram pula.
“Usah kau bimbang , wahai Artakus. Kau
tidak bersendirian dalam kegentingan ini. Biarkan Morrok dengan
kekuatannya dan Herakos dengan siasahnya. Apa saja yang mendatang,
kebijaksanaanmu akan mengatasi segalaa-galanya. Serahkan segala
Yisykrak kepadaku, akan kumatikan segala sihir yang melindungi
tentera Morrok dan segala sihir yang membelenggu angkatan tentera
Aurora. Aku pasti kau tidak gentar dengan bilangan mereka yang
ramai kerana kau telah membuktikan bahawa kemenangan boleh dicapai
dengan kebijaksanaan dan semangat juang yang tinggi” ujar
Azkram sambil melihat ke arahku lantas menyambung,
“Untuk menghadapi tentera-tentera jembalang,
aku perkenalkan kau seorang Zukkiri dari kosmos Tarsonis yang
akan memudahkan siasahmu…” aku mengerti maksud Azkram
lantas menghulurkan tanganku kepada Artakus.
“Salam perkenalan buatmu, Artakus.”aku
memulakan bicara perkenalan. Artakus menyambut tanganku dengan
rasa hormat.
“Namaku Orzaily, seorang Zukkiri yang mengetuai
armada perang Diraja Tarsonis. Aku datang sebagai kawan kepada
pihak Aurora. Pengutusan aku ke sini oleh Maharaja Tarsonis VI
adalah untuk menghalang Herakos yang memperalatkan Morrok dan
jembalang untuk mencapai niatnya yang memusnahkan. Kita berhadapan
dengan musuh yang sama, Artakus. Dan kita juga tinggal dialam
yang sama. Menerima cahaya Arasis di kala siang dan berkongsi
keindahan Osria di kala malam. Maka, perikatan ini adalah sebagai
sumbangan kami untuk mempertahankan alam ini dari dimusnahkan
Herakos. Ku persembahkan seluruh armada Antiga Prima kepadamu,”
bicaraku tersusun dan berhati-hati.
Cebisan harapan mula terbit dari ungkaian persoalan
yang semakin terjawab. Wajah kesangsian kini ditinta rasa lega
lantas mengundang sedikit kegembiraan dalam mengerti.
“Kekuatan Antiga Prima cukup untuk menghapuskan
segala jembalang. Aku diiringi sepuluh ribu tentera di bawah empat
unit Qarzaig yang akan setia bersamamu, Artakus. Darah kami adalah
untukmu. Perisai Gothic kami akan mempertahankan seluruh Aurora
dari sihir jembalang durjana. Pedang kami akan memisahkan nyawa
mereka. Antiga Prima takkan mengecewakanmu, kerana ia belum pernah
tumpas semenjak dua ribu tahun dahulu.dan kerana itulah aku digelar
Zukkiri, yang bermaksud Pahlawan Yang Menang,” tambahku,
membiarkan manusia-manusia ini tahu kemampuan kami mampu mengatasi
seluruh angkatan Herakos. Letakkan saja kami di barisan hadapan.
Sekiranya ada musuh menyerang dari jauh, panah kami akan mengenainya
terlebih dahulu. Kiranya musuh datang berdepan, Zaradilan kami
takkan biarkan mereka bernyawa selepas itu.
|