| |
Eksklusif sedutan Buku 7
Buat pengetahuan semua, ini merupakan salinan asal yang telah
dicatatkan oleh Ahmad Patria di buku tamu fajaronline pada 04-06-03,
khas buat tatapan para peminat Saga Artakusiad.
Dearest
fans,
Please accept this humble offering from me as a token of my deepest
appreciation of your concern and support.
-Ahmad
Patria Abdullah -
HUMBLE OFFERING PART 1
Book 7,Saga Artakusiad (still untitled)
Paragraph 1,Chapter 1
Bulan tegas membulatkan langit,meredakan selumbar
seribu bintang perak yang kian reda dalam jelingan gemala cahaya
putih itu. Sayup-sayup kedengaran rintihan pungguk memanggil temannya
yang barangkali di langit, barangkali di bumi, suaranya seakan
keluhan memori senja yang kian dinodai kegelapan malam. Alam seakan
menggapai kemuncak nadir, bayangannya sehitam entropi yang rakus
menelan segala nadi sehinggakan bumi terus sahaja menghitam tanpa
hidup sehangus benua arang dibakar naga. Mendung yang pekat itu
turut memenggal nafas bayu sehinggakan malam tidak berarus lagi,
terkunci antara duka semarak langit dan bumi. Fajar tidak pernah
putus berjanji siang namun apabila tiba masanya bumi tetap bercandakan
bulan.
[+]
HUMBLE OFFERING PART 2
Book 7,Saga Artakusiad (Still untitled)
Paragraph 2,Chapter 1
Aku termenung antara debunga bulan dan serpihan
bintang yang cahayanya kian mendingin di muka buana, sepiku barangkali
suatu keterlanjuran dari kemurkaan langit yang muramnya kian meracuni
alam, atau barangkali juga ilusi ciptaanku sendiri dari ketenangan
yang bersungguh teguh memagari perasaanku tetapi sebenarnya tidak
kurasai dengan urat sanubariku. Aku gigih meratah sepi, diamku
mencuri ruang yang sebentar lagi bakal diisi kehadiran Atinius,
Darumir, Jeenusix dan Iotan, para wazir yang menjadi pemimpin
tertinggi sekalian kelana Aurora. Aku telah memanggil mereka kepadaku,
persaksian kami pada malam itu bertempat sepagi senja setelah
pertemuanku dengan Merkia, niatku untuk menyampaikan perkhabaran
yang telah kuterima daripada widana Arasis itu, mendedahkan siasah
serta muslihat Morrok yang telah dibongkar oleh Merkia menerusi
keampuhan magis serta ketajaman firasatnya agar para wazir Aurora
itu bisa mengetahui malapetaka yang kian mengambang bersama hari
yang menjelang.
[+]
HUMBLE OFFERING PART 3
Book 7,Saga Artakusiad (still untitled)
Paragraph 3,Chapter 1,
Tindakanku menghimpunkan para wazir Aurora itu
sebenarnya dipengaruhi oleh Laira, yang telah banyak menaikkan
semangatku dan meminjamkan kekuatan kepadaku sehinggakan akhirnya
aku membuat keputusan nekad untuk berterus-terang dengan mereka
tentang kedudukan bangsa Aurora yang sebenarnya sudah terlalu
genting. Keyakinanku yang tempang sudah pun kembali lurus diteguhkan
kepercayaan Laira yang penuh ikhlas terhadapku, namun hatiku masih
resah, fikiranku semuram mendung malam yang kian pekat merebut
langit. Kesucian serta kemurnian hati gadis Aurora yang jelita
itu tidak bisa mengubah hakikat bahawa orang-orang Aurora pimpinanku
kini terperangkap antara lurah lembah Akturius, tersepit antara
dua angkatan perang gergasi dari Morrok yang pada waktu itu pun
sedang mara mendapatkan kami. Tiga puluh lima ribu infantri dan
kavalri musuh sudah pun jelas menggegar tanah persempadanan barat
dan bilangan yang ramai itu bakal berganda dengan kemunculan dua
puluh ribu rangin lagi dari arah daksina, menentang ketumbukan-ketumbukan
Aurora yang sekadar berjumlah dua puluh tiga ribu perisai. Aku
tidak tahu, tidak pasti, tidak yakin bahawa para pahlawan dan
bahadur Aurora bisa mengatasi bilangan seteru yang sebegitu ramai
di dalam sebuah peperangan terbuka. Kebimbangan itu meracuni ketenanganku,
mewarnai segala perhitunganku dengan kegagalan. Barangkali aku
telah berjaya menyatukan bangsa Aurora, bukan untuk mengecap nikmat
kemerdekaan, tetapi untuk merasai pahit kehancuran.
|
|