Sinopsis:
Puteri Alindalia
Kedatanganmu telah lama aku nantikan, Artakus,
lebih lama dari yang kau sangkakan...
Sepanjang masa Artakus mengembara bersama Esis
mencari Puteri Alindalia dan permata Aurorius, seluruh Aurora
telah mula bangkit membebaskan tanah dan bangsa mereka dari genggaman
Morrok. Semangat perjuangan dan gerakan penyatuan yang ditiup
Artakus telah membawa gelombang kejatuhan Morrok di bumi yang
telah dijajah mereka sejak sekian lama. Atinius, Darumir, Iotan
dan Jeenusix telah mengasaskan gerakan bawah tanah di kota-kota
yang masih di bawah kekuasaan Morrok dan hasilnya, kota-kota Zilla
dan Zenon telah berjaya ditawan sementara Jeenusix telah memimpin
Inkatus menawan Zassius. Walaupun masih ada kawasan yang belum
dibebaskan, kekuatan Morrok yang tinggal di Aurora tidak mampu
untuk menghalang kebangkitan rakyat Aurora. Berikutan dengan tumbangnya
Morrok di Aurora, Herakos telah menghantar Osrakhun untuk memimpin
sejumlah tiga puluh ribu tentera berjalan kaki bersama lima ribu
tentera berkuda ke banjaran Makarios dan menawan kembali Aurora.
Osrakhun, Panglima Tertinggi Sempadan Timur,
dibantu oleh dua orang panglima Morrok yang terkenal, Takaranda
dan Jundak. Untuk menghadapi tindak balas Morrok ini, para pemimpin
Aurora telah mengumpulkan sejumlah lima belas ribu tentera bejalan
kaki dan lapan ribu tentera berkuda dan kini mereka berkumpul
di Lembah Akturius di barat Aurora, laluan yang mereka jangka
akan digunakan oleh Morrok untuk masuk semula ke Aurora.
Selepas bebas dari sihir Godorojo yang hilang
akibat kematian penjaga teka-teki Tiarra itu, Karum membawa Esis
ke Pulau Urul dan mengharapkan akan bertemu Artakus di situ. Namun
dalam perjalanan ke sana, Karum bertemu dengan Hunkrakar dan terjadilah
satu pertarungan yang mengegarkan Selat Tarminnon. Hunkrakar hampir
tewas dan naga hitam tesebut melarikan diri ke Pulau Urul untuk
mengambil Jundak sementara Karum dan Esis menyusul untuk mencari
Artakus. Tanpa diberitahu, Karum menggunakan firasatnya membawa
Artakus dan Esis ke lembah Akturius untuk menyertai Atinius dan
para pemimpin Aurora yang lain menghadapi Morrok. Walaupun kehadiran
Artakus dapat menyemarakkan lagi semangat tentera Aurora, Artakus
dapat mengesan suasana yang tidak stabil berlaku di kem tentera
Argida dan nama Naktai muncul sebagai dalang di sebaliknya.
Di dalam suasana tegang yang menanti peperangan
di Lembah Akturius, Artakus bertemu dengan Merkia dan menyerahkan
permata Aurorius kepada makhluk yang berasal dari kuasa Arasis
itu. Merkia seterusnya memindahkan permata yang menjadi kunci
keseimbangan alam Aurora ke Assalinggi, suatu tempat yang dilindungi
tujuh dinding perisai sakti dan tujuh lapis tembok mantera yang
tidak akan dapat ditembusi Herakos. Merkia memberi pilihan kepada
Artakus untuk kembali sebagai Rizal ke dunia asalnya kerana tugasnya
untuk menghalang Herakos menggunakan permata Aurorius sebagai
alat untuk memusnahkan Aurora telah selesai.
Namun, bukan sifat seorang Artakus untuk meninggalkan
sesuatu dalam keadaan musnah, Rizal memilih untuk kekal sebagai
Artakus di Aurora dan memimpin tentera Aurora mengharungi lautan
tentera Morrok di Akturius. Melalui bola kristal Merkia, Artakus
dapat melihat usaha Azkram bersama Fasdan untuk menutup pintu
Erta, pintu yang akan digunakan oleh Ombror, raja segala jembalang
dan Kirrotammagrak, raja segala jin bersama bala tentera mereka
untuk masuk ke Aurora. Azkram telah berjaya mendapatkan bunga
Warsali yang menyimpan nama Ota, penjaga pintu tersebut dan dengan
menggunakan ilmunya, dia berjaya menyeksa Ota dan memaksanya menutup
pintu tersebut walaupun cuba dihalang oleh Ombror.
Tindakan ini berjaya menghalang Morrok mendapat
bantuan dari kerajaan jembalang dan jin tetapi Merkia turut membawa
satu lagi berita yang mengemparkan Artakus; sebuah lagi ketumbukan
Morrok sedang mara ke Akturius dari selatan Aurora. Idea yang
dicetus oleh Jundak ini langsung tidak diketahui para pemimpin
Aurora dan ini bermakna tentera Aurora tersepit antara dua buah
angkatan perang Morrok yang besar.
Walaupun begitu, Artakus mengetahui melalui Merkia,
kedudukan Jundak selepas peperangan di dalam kerajaan Morrok tidak
selamat kerana reputasinya yang hebat di kalangan rakyat Morrok
dan hampir menenggelamkan nama Herakos dan para pemimpin Morrok
yang lain seperti Osrakhun, Takaranda dan Erkhun. Jundak juga
mempunyai musuh dalaman yang sentiasa mencari peluang untuk menjatuhkannya
dan berita ini mungkin boleh digunakan Artakus untuk menghadapi
musuh yang dihormatinya itu. Jangkaan Artakus mengenai Naktai
akhirnya terbukti apabila bakal pemimpin Argida itu menimbulkan
kekacauan di perkhemahan Armorikus dengan menuduh Olafhul melarikan
Aylanin, gadis Argida yang menjadi rebutan antara Naktai dan sahabat
Artakus itu. Naktai dengan sengaja cuba mewujudkan perpecahan
di kalangan tentera Aurora apabila menuduh Olafhul sebagai pengkhianat
Aurora dan sekaligus cuba menggugat perpaduan yang dicapai Atinius
dan Iotan di Arialun.
Artakus menghalang Olafhul dari menyambut cabaran
Naktai kerana Artakus tahu Naktai menginginkan tindakbalas dari
puak Armorikus bagi memudahkannya menyulam jarum kebencian ke
dalam hati puak Armorikus dan Argida dan kehadiran Iotan ke perkhemahan
Armorikus berjaya menghalang perkara buruk terjadi. Kemunculan
Belakios, garbrank yang membantu Artakus dan Esis melarikan diri
dari penjara di Santirran, membawa berita yang menjelaskan segala
tindakan Naktai selama ini sering membangkitkan peristiwa pengkhianatan
seorang tentera Armorikus di Kolossus sebelum kebangkitan semula
Aurora. Selepas pengkhianatan Babusyka dan Zardaron, Aurora kini
berhadapan dengan satu lagi musuh dalam selimut. Belakios mengetahui
tempat dan masa Naktai, yang begitu mengidamkan pemimpin Aurora,
sering berjumpa dengan perisik Morrok dan seperti biasa, Belakios
meminta bayaran dari Artakus. Bagi Artakus, Esis dan Olafhul,
bayaran tidak menjadi masalah kepada mereka dan mereka hanya menunggu
masa untuk mendedahkan pengkhianatan Naktai sebelum ia menjadi
barah yang tidak boleh dihalang yang bakal membunuh kebangkitan
Aurora.
Hari demi hari dan Morrok semakin hampir ke kedudukan
angkatan tentera Aurora. Semangat tentera Aurora berada di tahap
yang tertinggi tetapi keresahan semakin menghimpit hati dan fikiran
Artakus kerana Aurora memberikan seluruh kepercayaan kepadanya
untuk memimpin Aurora kepada kebebasan mutlak yang telah lama
diimpikan oleh bangsa Aurora. Impak kegagalan yang mungkin dihadapi
Aurora mungkin lebih teruk kerana Morrok akan memastikan Aurora
tidak akan bangkit untuk selama-lamanya. Dan waktunya semakin
hampir kepada Artakus untuk membalas kepercayaan Aurora kepadanya.
Sebagaimana yang diucapkan oleh Laira, seluruh Aurora telah lama
menanti kehadiran Artakus dan dialah pedang Aurora yang akan memukul
Morrok kembali ke negara asal mereka.
contributed by: mr. x
|