| |
Sinopsis:
Puteri Alindalia
Takdirku adalah menjadi seorang Artakus...
Tidak seperti yang dijangkakan Artakus, pertemuan
dengan Karum pada hakikatnya bukanlah suatu pertemuan yang diimpikan
oleh orang kebanyakan. Mereka terpaksa menunggu detik naga merah
itu bangkit dari tidur kerana saat itulah yang terbaik untuk Azkram
mengenakan sihirnya ke atas Karum bagi memudahkan mereka menghampirinya.
Setibanya mereka di tebing puncak Nakassos yang menyembunyikan
pintu Ohhara yang menjadi pintu masuk ke tempat istirehat Karum,
mereka bertemu dengan Unggar, yisyrak ungu yang merupakan yisyrak
kedua terhandal selepas yisyrak hitam di dalam hirarki yisyrak.
Haluan mereka adalah sama, untuk bertemu bertentang mata dengan
Karum. Atas arahan Herakos, Unggar turut mencari Qrokul yang melarikan
Permata Aurorius untuk kepentingan peribadi.
Pertarungan sengit antara karman terhebat di
Aurora dan yisyrak ungu yang dibantu oleh beberapa ekor jembalang
hampir menyebabkan Esis terbunuh dan apabila fajar menjelang tiba,
Artakus menjangkakan Unggar akan musnah sepertimana tewasnya Gargola
kepada kuasa Arasis tetapi itu tidak berlaku. Unggar berjaya melindungi
dirinya dari pancaran Arasis dengan menggunakan sihir kegelapan
yang dikurung di dalam bekas yang dinamakan loka. Dengan keadaan
Azkram yang semakin lemah, Artakus terpaksa memperjudikan Arkus
dengan melempar senjata pemberian Merkia itu untuk memecahkan
loka dan menyebabkan Unggar tewas. Sebelum Azkram menukarkannya
menjadi katak, Unggar memberitahu mereka bahawa Ombror, raja segala
jembalang telah mengumpulkan tenteranya dan akan melalui pintu
Erta untuk tiba ke dunia Aurora dan Kirotammagrak, raja segala
jin pula akan menyusul bersama pasukan tenteranya selepas itu.
Berita ini amat mengejutkan Azkram yang kemudiannya meminta Artakus
meneruskan perjalanan bertemu Karum bersama Esis kerana dia perlu
menutup pintu Erta sebelum Ombror dan Kirotammagrak berjaya melepasi
pintu tersebut.
Ketiadaan Azkram dan Fasdan tidak melemahkan
semangat Artakus yang tidak mempunyai pilihan lain selain memasuki
pintu Ohhara bersama Esis yang terpaksa mengikutinya. Mereka jatuh
ke tempat istirehat Karum yang dipenuhi dengan harta karun dan
hampir dibakar oleh Karum dengan hembusan nafasnya. Semangat mereka
hampir luntur kerana dipermain-mainkan Karum yang sememangnya
bukan tandingan manusia tetapi Karum akhirnya bersetuju untuk
membantu mereka, bukan hanya disebabkan Hunkrakar, musuh ketatnya
yang menjadi penghalang kepada pengembaraan Artakus tetapi juga
disebabkan oleh kesabaran, keberanian dan kejujuran yang dimiliki
Artakus, nilai-nilai yang tidak pernah ada di dalam setiap manusia
yang pernah dijumpainya sebelum ini. Karum juga bersetuju membawa
mereka ke Kol-Uion-Kol, untuk bertemu dengan Trazfertrazfer yang
tinggal di menara Aidhantor yang menyimpan nama jembalang yang
menjadi halangan kedua di Pulau Urul.
Dalam perjalanan mereka ke sana, mereka dihalang
oleh sekumpulan hulubalang kazakukai yang menunggang tankrawa,
sewaktu terbang melintasi kepulauan Hayan Kadan. Para Kazakukai
itu yang bertindak di bawah arahan Godorojo, mengarahkan mereka
turun ke pulau Hayan Kadan. Karum terpaksa menurut kehendak mereka
walaupun dia boleh menewaskan para kazukaki itu dengan mudah kerana
Artakus dan Esis tetap terdedah kepada serangan mereka. Godorojo
kemudiaan mengenakan sihirnya ke atas Karum dan Esis dan meminta
Artakus mengikutinya ke dalam Istana kaca Martirri. Di dalam istana
itu, Godorojo menerangkan segala-galanya, tentang takdir dan pertemuan
hidupnya yang bergantung kepada seseorang yang bernama Artakus.
Dia, yang dibuang negeri setelah cubaan merampas kuasa di Nazaki
gagal, disumpah tidak akan mati selagi tidak berjumpa dengan takdirnya.
Dan di dalam mimpinya setelah seratus tahun tiba di Hayan Kadan,
dia bertemu dengan Olsin-Ai atau Puteri Alindalia yang menugaskannya
menjaga teka-teki Tiarra yang hanya boleh diselesaikan oleh seorang
perwira bergelar Artakus. Dan sejak dari itu, Godorojo menahan
sesiapa sahaja yang mengaku dirinya Artakus untuk menyelesaikan
teka-teki itu, dan sekiranya mereka gagal, mereka akan bertukar
menjadi tankrawa. Dan sekiranya berjaya, Artakus itu akan dihantar
ke Pulau Urul untuk bertemu dengan Puteri Alindalia dan Godorojo
pula akan menanti maut yang telah dijanjikan untuknya. Bilik yang
menyimpan teka teki tersebut telah disihir dan waktu yang berlalu
di dalamnya adalah lebih pantas dari di luar.
Artakus perlu bertindak segera menyelesaikan
teka teki yang memerlukannya mengeluarkan cincin Karinil dari
dalam sebuah bola kristal yang mempunyai liang-liang halus. Dengan
pengalaman yang dimilikinya, Artakus berjaya mengeluarkan cincin
tersebut dengan cara yang tidak pernah difikirkan oleh Godorojo.
Pintu ke Pulau Urul dibuka untuk Artakus dan Godorojo perlahan-lahan
menemui takdirnya. Dua halangan telah berjaya ditempuhi Artakus
menyusuli kejayannya menyelesaikan teka-teki Tiarra; jembalang
api bernama Runtai dan naga hitam Hunkrakar dan kini Artakus harus
menempuh halangan seterusnya iaitu Lorong Qoinak. Artakus menjumpai
bangkai seekor ular gergasi yang dibunuh dan seterusnya terpaksa
menggunakan muslihat untuk menyelamatkan dirinya dari seorang
perempuan yang boleh menukarkan seseorang menjadi batu dengan
pandangan matanya. Melalui perempuan tersebut, Artakus mengetahui
ada seseorang telah mendahuluinya menempuh lorong tersebut.
Dia akhirnya tiba di sebuah kota lama dan di
situ, dia menemui sahabat lamanya, Nazril yang parah diserang
dari belakang oleh orang suruhan Herakos. Sebelum menghembuskan
nafasnya yang terakhir, Nazril mendedahkan niat Qrokul yang juga
ingin mencari Puteri Alindalia untuk memanjangkan kekuasaannya
dan kehadiran Jundak, seorang panglima Morrok yang ditugaskan
mencari Qrokul dan merampas Permata Aurorius dari yisyrak merah
tersebut. Selepas kematian Nazril, Jundak muncul dan berlakulah
satu pertarungan fizikal dan mental yang hebat antara kedua-dua
panglima perang yang bersengketa ini.
Jundak, yang sebelum ini telah berjaya membunuh
Qrokul dan merampas Permata Aurorius daripadanya, mempunyai reputasi
yang amat menggerunkan seluruh Aurora dan kemahiran pedang yang
amat tinggi dan kini berhadapan dengan Artakus, yang kehebatan
namanya telah tersebar ke seluruh Morrok dan dibakar semangatnya
dengan kematian Nazril. Pertarungan mereka yang sengit diganggu
oleh kehadiran Hunkrakar yang parah diserang Karum. Hunkrakar
yang selama ini membantu Jundak di Pulau Urul memaksa Jundak meninggalkan
pertempurannya dengan Artakus. Tanpa disedari Jundak, Artakus
berjaya mengambil Permata Aurorius dari koceknya sewaktu mereka
beradu kekuatan dan kini menunggu kedatangan Karum dan Esis yang
berjaya mengesan kehadiran Artakus di Pulau Urul. Permata Aurorius
tidak akan terlepas dari genggamannya lagi.
contributed by: mr. x |
|