| |
Sinopsis:
Petua Azkram
Azkram, kau datang membawa harapan...
Kejayaan Artakus menewaskan makhluk yang dihantar oleh Herakos
di hadapan Hojainan secara tidak langsung telah menjadikan Armorikus,
Argida, Inkatus dan Jegadai bersatu di bawah satu panji-panji,
Aurora dan kehadiran Artakus diterima dan diakui oleh Aurora.
Namun tidak mudah bagi Darumir kerana maruahnya terjejas akibat
sumpah setianya kepada Artakus palsu yang telah dilafazkan di
hadapan wakil-wakil Aurora sebelum pertarungan antara dua Artakus
terjadi. Darumir menyerang Artakus tetapi pedang biasanya tidak
mampu mengatasi kehebatan Arkus yang sentiasa menjadi nadi kekuatan
perjuangan Artakus dan nilai kepimpinan yang ditunjukkan oleh
Artakus berjaya membuka mata Darumir untuk menerima hakikat bahawa
Artakus telah tiba untuk membawa Aurora keluar dari genggaman
penjajahan Morrok.
Masa yang terus berlalu membuatkan Artakus tidak
menunggu lama untuk merancang langkah seterusnya bagi menggempur
Morrok di seluruh Aurora. Suatu mesyuarat diadakan di Olai Tannon
dan hasil dari pengintipan yang dijalankan, Artakus merancang
untuk menyerang kota-kota Ersius, Illan dan Zassius kerana kota-kota
ini terletak di laluan yang strategik di seluruh Aurora. Untuk
mencapai sasaran itu, Artakus mencadangkan tentera Aurora yang
baru dibentuk menyerang kota pelabuhan Sarrium sebelum musim sejuk
yang bakal tiba tidak lama lagi. Sarrium menjadi sasaran berdasarkan
peranannya yang menjadi pintu masuk bekalan makanan kepada kota
Ersius. Cadangan ini diterima oleh semua ketua puak tetapi dengan
kedudukan mereka di Olai Tannon, hanya pasukan dari Jegadai dan
Inkatus sahaja yang mampu menyertai serangan ke atas Sarrium sementara
Armorikus dan Argida pula akan menyerang Illan pada penghujung
musim dingin. Artakus mengambil keputusan untuk tidak mengikuti
Atinius pulang ke Arialun tetapi beliau menyertai pasukan Inkatus-Jegadai
untuk menyerang Sarrium. Artakus mengambil peluang yang ada untuk
mengukuhkan lagi sokongan Jeenusix dan Darumir kepadanya dan membuktikan
kepada mereka bahawa kehadirannya di Aurora adalah untuk seluruh
Aurora, bukannya semata-mata untuk Armorikus.
Setibanya di kawasan bukit Hartiot, Artakus dan
Esis segera menjalankan perisikan ke atas kota Sarrium. Hasil
dari pemerhatian mereka, Sarrium mempunyai kekuatan tentera yang
kecil jika dibandingkan dengan gabungan tentera Inkatus-Jegadai,
tetapi tembok kota Sarium menjadi penghalang mereka yang utama.
Tiada jalan lain yang boleh dambil melainkan menghantar seseorang
untuk masuk ke dalam kota dan membuka pintu kota dari dalam. Dan
hanya seorang sahaja yang mempunyai kecekalan hati, kekentalan
jiwa dan ketajaman akal untuk melakukan tugas tersebut tanpa ragu-ragu;
Artakus. Dengan ditemani Esis, Artakus menyamar sebagai pengembara
yang ingin mencari pekerjaan di Sarrium. Mereka berjaya masuk
setelah Esis menggunakan kelemahan Morrok yang cintakan kekayaan
dengan memberi rasuah kepada pengawal yang mengawal pintu kota
Sarrium. Di celah-celah lorong kota, Artakus bertemu dengan seorang
perempuan tua misteri yang seakan-akan mengetahui tentang pencarian
sebenar Artakus di Aurora iaitu Permata Aurorius dan memberikan
Artakus sebuah sajak sebagai tukaran kepada beberapa keping wang
yang diterimanya dari Artakus. Di dalam kebingungan untuk mencari
jalan membuka pintu kota tersebut, mereka bertemu pula dengan
Takron, yang berasal dari Kagal Hud, sebuah kawasan di selatan
Morrok. Takron, yang mengikuti pergerakan mereka dari saat mereka
menjejakkan kaki di Sarrium, turut mengetahui akan kehadiran pasukan
tentera Inkatus dan Jegadai di luar kota dan menawarkan pertolongan
kepada mereka untuk membuka pintu Sarrium. Artakus dan Esis tidak
mempunyai pilihan lain selain menerima tawaran Takron, yang mempunyai
agenda tersendiri bagi memastikan pemerintahan Sarrium tumbang
menyembah bumi. Mereka sedar rancangan mereka untuk membuka pintu
Sarrium tidak semudah yang mereka sangkakan apabila Takron mendedahkan
bahawa pintu masuk Sarrium dikuasai sihir Onggrok, yisyrak hijau
yang memerintah Sarrium dan satu-satunya cara untuk menamatkan
sihir itu ialah dengan membunuh Onggrok, yang amat ditakuti oleh
penduduk Sarrium.
Di Menara Onggrok mereka diserang oleh Honggor,
sejenis makhluk dazoka yang menyerupai manusia dan mempunyai kekuatan
yang hebat, sewaktu mereka cuba membuka pintu menara yang menjadi
sasaran mereka. Di dalam menara pula, mereka terpaksa menempuh
perangkap api yang disediakan oleh Onggrok. Artakus berjaya mengalihkan
pandangan Honggor dengan melarikan diri ke dalam sebuah bilik
yang penuh dengan cermin manakala Esis dan Takron pula terjebak
ke dalam muslihat Onggrok dan menjadi tawanannya. Malangnya, Artakus
turut sama jatuh ke dalam perangkap tangga Onggrok tetapi kehadirannya
tidak disedari oleh Onggrok yang hanya memberi tumpuan kepada
Esis dan Takron dan juga seekor jembalang yang jelas membenci
Onggrok dan terikat dengan kuasa sihirnya. Artakus segera bertindak
membebaskan Esis dan Takron dan memaksa Onggrok keluar dari bulatan
sihir dan ditelan oleh jembalang yang diperhambakannya selama
ini. Dengan kematian Onggrok, sihir yang selama ini mengawal Sarrium
terbatal dan haluan Artakus dan Takron kini berpecah. Takron memperolehi
apa yang dicarinya selama ini iaitu pedang Gazgar yang disimpan
oleh Onggrok dan juga membawa pergi dazoka yang telah menjadi
lemah dan berjanji akan membantu Artakus apabila diperlukan. Artakus
dan Esis pula segera bergegas ke menara kawalan untuk membuka
pintu kota. Naluri Arasis yang mengalir di dalam diri Artakus
menyelamatkan mereka dari dibakar oleh sisa-sisa sihir yang tinggal
di dalam bilik kawalan dan juga dari serangan pemanah-pemanah
Morrok di puncak menara. Pintu menara berjaya dibuka dan tentera
Aurora pimpinan Darumir dan Jeenusix masuk ke dalam Sarrium dan
menaklukinya.
Kehebatan Artakus di medan perang tersebar ke
seluruh Arialun dan sudah pasti bertambah merisaukan Laira yang
sentiasa menantikan kepulangannya. Laira sering mengharapkan agar
peperangan dengan Morrok segera berlalu kerana Laira seakan-akan
tidak mampu untuk terus ditinggalkan. Sementara itu, kejayaan
menakluki Sarrium menaikkan semangat Darumir dan Jeenusix untuk
terus membebaskan Aurora sementara Atinius dan Artakus terus mencatur
siasah utuk menawan kota-kota lain yang masih di bawah taklukan
Morrok. Kata sepakat dicapai untuk Armorikus menawan kota-kota
tersebut apabila menjelangnya musim bunga dengan bantuan Argida
dan juga sokongan mengejut tentera Arialun yang dipimpin oleh
Garilon, yang selama ini hanya menjaga kepentingan di dalam Arialun.
Di dalam kedinginan musim sejuk yang menyelimuti
Arialun, Artakus bertemu dengan seseorang yang telah dijanjikan
oleh Merkia iaitu Azkram, karman yang terhebat sejak zaman Chandorri,
penghulu segala karman dan Artakus dibawa berkenalan dengannya
di dalam lekuk yang dibentuk dari arus masa, salah satu kehebatan
sihir Arasisnya. Pelbagai maklumat diperolehi dari karman yang
sudah berusia lima abad tetapi mempunyai penampilan serta raut
wajah seorang pemuda yang sebaya dengan Artakus dan menggunakan
sains sebagai asas kepada sihirnya. Beliau ditemani oleh jin biru
yang rabun bernama Fasdan yang sering bertengkar dengan Esis dan
Olafhul mengenai kejadian dan fenomena alam. Berdasarkan cerita
mengenai perempuan tua misteri yang ditemui Artakus di Sarrium,
Azkram mencadangkan agar mereka bertemu dengan Olsin-Ai, puteri
bulan yang berada di Pulau Urul seperti yang diceritakan di dalam
sajak yang diterima oleh Artakus.
contributed by: mr. x |
|