| |
Sinopsis: Kembar Artakus
Aurora, akulah Artakus yang sebenar...
Kemenangan yang dicapai oleh tentera bersekutu
Armorikus-Arialun telah memberikan nafas keamanan yang segar kepada
kota Arialun. Garilon dan Atinius telah memeterai perjanjian kerjasama
dan pesta menyambut kemerdekaan Arialun dari Morrok diadakan oleh
para penduduk. Namun keriangan ini tidak dapat dirasai bersama
oleh Artakus yang semakin gusar dengan detik pertemuan Arasis
dan Osria yang semakin hampir, di mana pada waktu inilah, menurut
Merkia, akan digunakan oleh Herakos untuk memusnahkan Permata
Aurorius dan seterusnya menguasai dunia Aurora. Walaupun permata
itu kini berada di dalam tangan Qrokul, namun Artakus tidak pasti
samada Yisyrak Merah itu mampu melarikan diri dari Herakos dan
kuncu-kuncunya untuk selama-lamanya. Berita penghijrahan puak
Jendai ke pelabuhan Hormisusum menambahkan lagi kerisauan yang
bersarang di hati Artakus kerana pelabuhan Hormisusum terletak
di bawah jajahan Morrok dan kemungkinan ketua puak Jendai telah
bekerjasama dengan Morrok adalah tidak mustahil. Tetapi kehadiran
Argida ke kota Arialun yang dipimpin oleh Iotan memberikan sedikit
harapan kepada Artakus. Kedatangan mereka adalah untuk menamatkan
krisis berpanjangan antara Argida dan Armorikus berikutan kejayaan
Armorikus merampas kembali Genting Kolossus dari Morrok. Persengketaan
yang berpunca dari peristiwa pengkhianatan seorang tentera Armorikus
sehingga menyebabkan kejatuhan Kolossus yang dipertahankan bersama
oleh Argida dan Armorikus akhirnya ditamatkan dengan upacara pematahan
pedang yang dijadikan lambang sumpah Argida oleh Iotan.
Kedatangan Iotan turut di sertai oleh anak saudaranya,
Naktai yang jelas tidak menyenangi kehadiran Artakus. Melalui
Atinius dan Esis, Artakus mengetahui niat Naktai yang menginginkan
takhta Aurora dan juga persengketaannya dengan Olafhul, seorang
sahabat Artakus di dalam merebut cinta seorang gadis Argida, Aylanin.
Selepas upacara pematahan pedang tamat, Artakus seakan dipanggil
untuk meredah keganasan cuaca yang mengiringi pertemuan Arasis-Osria
dengan ditemani oleh Esis yang setia, dan di tengah-tengah lapangan
Iskariot yang luas itu, Artakus bertemu dengan Herakos. Maharaja
kegelapan inilah yang menyeru Artakus dan kemudiannya mereka bertarung
dalam satu pertempuran psikologi yang hebat. Menyedari bahawa
Artakus tidak boleh ditewaskan dengan permainan minda, Herakos
menggunakan Esis untuk menyerang Artakus dan sekali lagi, Herakos
gagal.
Pertemuannya dengan Herakos menjadikan Artakus
bertambah keliru, namun kehadiran Merkia di Arialun setelah sekian
lama menghilangkan diri, segera menepis segala kekacauan yang
melanda fikiran Artakus. Merkia menceritakan tentang pertempurannya
dengan Herakos dan juga percaturan baru Herakos yang mendapat
sokongan dari raja segala jin, Kirrotammagrak dan raja segala
jembalang, Ombror. Walaupun Herakos gagal memusnahkan Permata
Aurorius sewaktu pertemuan Arasis-Osria, Merkia percaya kitab-kitab
Id boleh ditafsirkan mengikut banyak cara. Herakos boleh memusnahkan
permata itu apabila dia, yang memerintah tatkala Osria berada
di langit, bertemu dengan Merkia, yang berasal dari Arasis tetapi
itu tidak dapat dilakukannya sebelum ini kerana permata Aurorius
berada di tangan Qrokul. Kota Arialun kemudiannya digemparkan
dengan satu percubaan membunuh Artakus di mana Hortas, salah seorang
sahabat Artakus, terbunuh ketika cuba menyelamatkan Artakus. Mesyuarat
yang menyusul selepas itu antara Armorikus, Arialun dan Argida
menyaksikan pertikaman lidah antara Atinius dan Naktai di mana
Naktai mempertikaikan kesahihan Artakus sebagai pemimpin Aurora
yang dijanjikan. Mesyuarat ini juga mendedahkan ketegangan hubungan
antara Iotan dan Naktai yang mempunyai keperibadian dan matlamat
perjuangan yang berbeza. Namun yang paling menggemparkan mereka
ialah berita kemunculan seorang lagi Artakus di kalangan puak
Jegadai di bawah pimpinan Darumir.
Bagi Artakus, kejutan demi kejutan yang melanda
tidak berhenti setakat itu dan yang seterusnya tiba dalam bentuk
yang amat menggembirakan hatinya. Kedatangan Laira ke Arialun
seorang diri dari Lembah Takaryan selepas mendapat tahu tentang
berita percubaan membunuh Artakus mengubati perasaan rindunya
dan kesanggupan Laira untuk menempuh perjalanan yang sukar itu
menjadikan cinta dan kasih Artakus terhadap Laira semakin dalam.
Atinius pula telah menerima jemputan Darumir untuk menghadiri
perjumpaan puak-puak Aurora, Hojainan di sebuah tempat yang bernama
Olai Tannon. Mereka menjangkakan Darumir akan menggunakan Hojainan
untuk menonjolkan Artakus yang didakwa muncul di kalangan puak
Jegadai. Tetapi persiapan Artakus untuk ke Hojainan terganggu
akibat diserang oleh Zardaron si pengkhianat yang terselamat dari
badai kemarahan penduduk Arialun sejurus sebelum peperangan dengan
angkatan Morrok pimpinan Takhun. Mereka bertempur, Zardaron tewas
namun sekali lagi, Artakus gagal mengambil peluang yang ada untuk
menamatkan riwayat Zardaron, yang juga mengaku bertanggungjawab
atas kematian Hortas dan Zardaron terlepas.
Dengan hanya ditemani Esis, Artakus terpaksa
meninggalkan Laira di Arialun dan memulakan perjalanannya ke Olai
Tannon dua hari lebih lewat daripada rombongan Atinius. Malangnya,
mereka terperangkap dengan sihir Kafrak, seekor jembalang suruhan
Herakos dan kemudiannya ditawan tentera Morrok yang diketuai oleh
Dartak dan dibawa ke sebuah penjara di Santirran. Segala perancangan
dan harapan seakan-akan hancur tetapi dengan pengalaman yang ada
pada Esis, mereka berjaya melarikan diri dari penjara dengan dibantu
oleh seorang garbrank atau tentera upahan berbangsa Inkatus yang
bernama Belakios. Setibanya Artakus di Hojainan, dia tidak segera
menampilkan diri dan memilih untuk berbuat demikian apabila tiba
masa yang sesuai. Apabila Hojainan bermula, seluruh puak Aurora
dikejutkan dengan berita oleh Darumir tentang kemusnahan puak
Jendai di tangan tentera Morrok di Iklos. Darumir seterusnya mengambil
peluang dari kekecohan itu dengan menampilkan dari kalangan puaknya
apa yang didakwanya sebagai Artakus. Hojainan menjadi semakin
hangat apabila Atinius turut memperkenalkan Artakus, yang mempunyai
kunci sebenar terhadap kekalutan yang berlaku. Hanya Artakus yang
mampu melihat akan rupa sebenar jasad 'Artakus' dari puak Jegadai.
Makhluk itu dihantar oleh Herakos kepada puak Jagadai untuk mewujudkan
perpecahan di kalangan Aurora dan seterusnya memusnahkan Artakus.
Makhluk suruhan Herakos itu mencabar Artakus untuk bertarung dan
membuktikan kepada Aurora siapakah Artakus yang sebenar. Artakus
tidak mempunyai jalan lain untuk membuktikan kebenaran adalah
miliknya dan terpaksa bertarung dengan makhluk suruhan Herakos
yang mempunyai kuasa sihir yang hebat. Penglihatan Artakus dihilangkan
namun dengan Arkus yang dibekalkan oleh Merkia kepadanya, Artakus
berjaya membunuh makhluk kegelapan itu, membatalkan sihirnya dan
memastikan kuasa Arasis masih terus bersinar di bumi Aurora.
contributed by: mr. x |
|